KOTA SAMARAHAN, 5 Disember – Insiden menyayat hati berlaku di Jalan Kampung Telok Sabang, apabila seorang wanita berusia 48 tahun ditemui meninggal dunia dalam sebuah pondok usang, sementara ibunya yang cacat penglihatan sebahagian terperangkap bersama mayat tersebut selama beberapa hari sebelum merangkak keluar ke tepi jalan untuk mendapatkan pertolongan.
Ketua Polis Samarahan, Supt Damataries Lautin berkata, menurut keterangan ibu mangsa, anaknya mengadu sakit dada dan sukar bernafas pada 30 November lalu sebelum tidak lagi memberikan respons. Keadaan fizikal wanita itu yang mengalami masalah penglihatan menyebabkan beliau gagal mendapatkan bantuan lebih awal walaupun menyedari kematian tersebut.
Situasi bertambah buruk apabila mayat mula mereput dan mengeluarkan bau kuat. Pada 4 Disember, ibu mangsa memutuskan untuk merangkak keluar melalui laluan sempit sejauh lebih 100 meter sebelum ditemukan orang awam pada pukul 6.30 pagi.
Pemeriksaan lanjut oleh pasukan APM menemui mayat mangsa di pondok berkenaan, dan siasatan awal polis tidak menemukan sebarang unsur jenayah. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak dan bedah siasat mengesahkan punca kematian ialah aterosklerosis koronari, iaitu serangan jantung akibat saluran darah utama tersumbat sepenuhnya.
Insiden tragis ini turut menimbulkan persoalan mengenai kebajikan komuniti terpinggir dan akses bantuan kecemasan di kawasan terpencil.
Tags
MALAYSIA HARI INI
