Seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun ditahan polis selepas disyaki memaksa kekasihnya mengambil ubat bagi menggugurkan kandungan di Bandar Country Homes, Rawang. Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, laporan diterima daripada Hospital Sungai Buloh selepas wanita tersebut dirujuk untuk rawatan lanjut.
Wanita berusia 19 tahun itu dilaporkan melahirkan bayi secara pramatang pada usia kandungan lapan bulan di sebuah klinik swasta di Rawang pada 2 Disember lalu. Bayi berkenaan dibawa ke Hospital Sungai Buloh, namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia akibat komplikasi pramatang serta kekurangan oksigen ke otak.
Menurut polis, suspek lelaki kini direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan. Wanita terbabit turut disiasat sebagai suspek kerana terlibat dalam perbuatan menggugurkan kandungan.
Dalam perkembangan berasingan, lima lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan sehingga menyebabkan kematian di Selayang Baru, Batu Caves, pada Selasa. Mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di hospital sekitar jam 5.32 petang.
Polis memaklumkan lima individu berusia antara 22 hingga 43 tahun telah direman, manakala 13 suspek lain masih diburu. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat bagi membantu siasatan kedua-dua kes.
Tags
MALAYSIA HARI INI
