KOTA BHARU – Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mempersoalkan tindakan kabinet yang didakwa campur tangan dalam urusan Dewan Rakyat berhubung isu penggantungan keahlian beliau baru-baru ini dengan menyifatkannya sebagai sesuatu yang luar biasa dalam amalan demokrasi.
Menurut Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) itu, keputusan berkaitan perjalanan Dewan Rakyat seharusnya dibuat oleh pihak legislatif melalui Speaker atau Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, bukannya dibincang atau diputuskan dalam mesyuarat kabinet.
“Kita pun hairan sebab apa urusan dewan dibincang dalam kabinet. Di Malaysia ada konsep pengasingan kuasa, antara legislatif, eksekutif dan kehakiman, yang tidak boleh campur tangan antara satu sama lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis di Kelantan Trade Centre (KTC), Jumaat lalu.
Beliau turut mempertikai bagaimana keputusan berkaitan penggantungan ahli Parlimen boleh bermula daripada kabinet, sedangkan ia lazimnya diputuskan Speaker atau jawatankuasa Parlimen.
“Ramai ahli Parlimen sebelum ini pernah digantung, tetapi tidak pernah kabinet buat keputusan. Itu sesuatu luar dari kebiasaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mempersoalkan mengapa isu penggantungannya mendapat tindakan segera, sedangkan kes-kes terdahulu melibatkan tokoh politik lain turut berakhir dengan hukuman penggantungan tanpa campur tangan eksekutif.
Sebelum ini, Jemaah Menteri memutuskan supaya kes Takiyuddin dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, selaras Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, menurut Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said.
📍 Untuk info lanjut, lawati malaysiahariini.website
TAKIYUDDIN: CAMPUR TANGAN KABINET SUATU YANG 'LUAR BIASA'
byMALAYSIA HARI INI
-
0
