PELAJAR SPM CEDERA, MOTOSIKAL LAWAN ARUS DIREMPUH KERETA

KAJANG – Seorang pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berusia 17 tahun cedera selepas motosikal yang ditunggangnya secara melawan arus bertembung dengan sebuah kereta di Jalan MKH Boulevard 2, Jalan Bukit, di sini pada Khamis. Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, motosikal berkenaan turut membawa seorang pembonceng lelaki berusia 20 tahun yang bekerja di sektor swasta, manakala pemandu kereta merupakan lelaki berusia 30 tahun. Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata siasatan awal mendapati insiden berlaku akibat tindakan cuai penunggang motosikal yang memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan dari arah hadapan.
Beliau menjelaskan, penunggang terbabit juga tidak memiliki lesen memandu dan perbuatannya melanggar peraturan jalan raya serta membahayakan keselamatan pengguna jalan lain. “Kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan sebelum dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan. Penunggang mengalami kecederaan di kaki dan patah tangan kiri, manakala pembonceng dan pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa, selain Seksyen 26(1) akta sama kerana tiada lesen memandu.
Naazron menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pengguna jalan raya yang mengabaikan undang-undang. “Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menunggang atau memandu secara melulu. Orang ramai digesa mematuhi peraturan demi keselamatan bersama,” ujarnya. 📍 Untuk info lanjut, lawati malaysiahariini.website

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama