MAYAT REMAJA 14 TAHUN LEMAS DI LONGKANG PRIMA SAUJANA DITEMUI

KAJANG – Mayat remaja lelaki berusia 14 tahun, Khalish Shahdan, yang dilaporkan lemas ketika cuba mengambil bola dalam longkang di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana, akhirnya ditemui petang tadi selepas tiga hari pencarian. Sumber berkata mayat mangsa dijumpai berhampiran sebuah pasar raya selepas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mengesan bau yang mencurigakan. Mayat Khalish dikeluarkan pada jam 8.45 malam dan dibawa ke Hospital Kajang untuk bedah siasat lanjut. Kejadian itu berlaku Khamis lalu, membabitkan dua kanak-kanak bersaudara berusia 12 dan 14 tahun yang terjatuh ke dalam longkang besar sebelum hanyut dibawa arus deras.
Ibu saudara mangsa, Nor Zieta Ibrahim, 39, berkata ahli keluarga bergegas ke lokasi sebaik dimaklumkan mengenai penemuan mayat. “Sepanjang tiga hari ini, ahli keluarga mengadakan doa tahlil dan solat hajat supaya urusan pencarian dipermudahkan. Penemuan ini sedikit sebanyak meredakan keresahan ibu bapa mangsa yang kehilangan dua anak sekali gus,” katanya.
Mayat adik mangsa, Qayyum Shaqeel, 12, telah ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi terjatuh pada malam kejadian di Sungai Merbau, Kampung Sungai Kantan, jam 7.47 malam. Kejadian tragis ini menimbulkan kesedihan mendalam dalam kalangan keluarga dan komuniti setempat. Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati apabila berada berhampiran kawasan air terbuka untuk mengelak kejadian seumpama ini berulang

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama