IMIGRESEN GEMPUR SINDIKET PELACURAN: 139 WARGA ASING DITAHAN DI 13 PREMIS DI IBU NEGARA

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 139 warga asing dalam serbuan besar-besaran ke atas 13 premis yang dipercayai menjalankan kegiatan maksiat dan pelacuran di beberapa lokasi tumpuan di ibu negara, hari ini.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Basri Othman berkata operasi bermula jam 11.30 pagi memberi fokus kepada kawasan Jalan Petaling, Jalan Imbi dan Jalan Pudu dengan 205 individu diperiksa. Seramai 27 lelaki dan 112 wanita warga asing berusia 20 hingga 65 tahun dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh, India, Nepal dan Sri Lanka ditahan atas pelbagai kesalahan. Turut ditahan, 20 lelaki warga tempatan disyaki bertindak sebagai kapten atau penjaga premis.
Menurut Basri, perkhidmatan seks ditawarkan pada harga serendah RM60 kepada warga tempatan dan asing, dengan pekerja wanita hanya bertugas di premis dan tinggal di lokasi berasingan. Premis dilaporkan beroperasi 24 jam melalui dua syif, dari 6 pagi hingga 6 petang dan bersambung sehingga keesokan harinya. Beliau menambah, beberapa premis turut mengubah suai struktur dalaman secara haram dengan membina dinding pemisah, dan maklumat telah disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut. Siasatan turut dilakukan bagi mengenal pasti sama ada semua premis beroperasi di bawah satu sindiket. Selain itu, sebuah kereta yang cuba melarikan diri ketika operasi di Jalan Petaling telah dipintas pasukan operasi.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Depoh Imigresen KLIA, Beranang dan Semenyih untuk tindakan lanjut. Pemerhatian di lokasi mendapati premis terlibat kotor dan suram dengan peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pelacuran. 📍 Untuk info lanjut, lawati malaysiahariini.website

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama