PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menekankan perlunya pelaksanaan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial bagi melindungi kanak-kanak dan remaja daripada risiko dieksploitasi atau didedahkan perkara tidak patut dalam talian.
Beliau berkongsi insiden membabitkan seorang murid berusia 10 tahun yang meminta gambar tidak senonoh daripada gurunya menerusi WhatsApp, sebagai bukti keperluan sekatan tersebut. Fahmi berkata, kejadian itu dimaklumkan oleh seorang guru dari Kuala Lumpur dan menjadi contoh jelas risiko pendedahan kanak-kanak kepada kandungan tidak sesuai.
“Isu seperti ini perlu ditangani melalui sekatan platform media sosial dan sistem pemesejan seperti WhatsApp. Kita bukan mahu halang semua aplikasi, tetapi langkah ini penting untuk melindungi golongan muda,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Mega Kempen Internet Selamat 2025 di IOI City Mall.
Beliau berkata, kementerian sedang meneliti mekanisme pengesahan identiti bagi pengguna di bawah umur, menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, MyPR dan pasport. Selain itu, Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) 2024 membenarkan denda sehingga RM10 juta bagi pelanggaran keselamatan dalam talian.
Kempen Internet Selamat anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menarik penyertaan 8,462 sekolah dan 369,005 pelajar setakat November lalu. Program ini akan diteruskan tahun depan sebagai Kempen Internet Selamat 2.0 dengan penglibatan komuniti, ibu bapa serta rumah ibadat bagi memperluas jangkauan keselamatan digital ke seluruh negara
Tags
MALAYSIA HARI INI
