𝐃𝐔𝐀 𝐑𝐄𝐌𝐀𝐉𝐀 𝐁𝐀𝐒𝐈𝐊𝐀𝐋 𝐋𝐀𝐉𝐀𝐊 𝐃𝐈𝐓𝐀𝐇𝐀𝐍 𝐏𝐎𝐋𝐈𝐒 𝐒𝐄𝐋𝐄𝐏𝐀𝐒 𝐀𝐊𝐒𝐈 𝐓𝐔𝐋𝐀𝐑

Tindakan berbahaya dua remaja menunggang basikal lajak di Putra Heights, Subang Jaya mengundang padah apabila mereka ditahan polis selepas video aksi tersebut tular di media sosial sejak Khamis lalu. Rakaman berdurasi beberapa saat itu memaparkan kedua-dua remaja menunggang dari arah Persiaran Putra Perdana menuju ke Kampung Tengah sebelum melanggar lampu isyarat merah, sekali gus nyaris merempuh sebuah kereta yang sedang bergerak ketika lampu isyarat hijau. Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 5.13 petang, Sabtu. Menurutnya, tindakan remaja terbabit bukan sahaja membahayakan diri mereka sendiri, malah berisiko menyebabkan kemalangan melibatkan pengguna jalan raya lain.
“Susulan laporan diterima, anggota Trafik IPD Subang Jaya bertindak mengesan dan menahan kedua-dua remaja yang masih di bawah umur itu di Bukit Lanchong. Mereka dibawa ke IPD Subang Jaya untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu kesalahan melakukan perbuatan berbahaya di jalan raya. Polis turut meneliti sama ada terdapat pihak lain yang bersubahat atau terlibat dalam pengubahsuaian basikal berkenaan.
Wan Azlan menambah, pihaknya memandang serius aktiviti basikal lajak yang telah lama menjadi ancaman keselamatan, khususnya apabila dilakukan di kawasan laluan utama dan ketika waktu puncak. “Ibu bapa perlu lebih peka dan memantau pergerakan anak-anak agar tidak terbabit dalam aktiviti yang boleh mengundang risiko maut,” katanya. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat BSPT IPD Subang Jaya, Inspektor Mohd Azizul Hakim Roslan di talian 011-28914495. 📍 Untuk info lanjut, lawati malaysiahariini.website

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama