𝐏𝐄𝐌𝐔𝐃𝐀 𝐃𝐈𝐊𝐇𝐔𝐀𝐓𝐈𝐑𝐈 𝐋𝐄𝐌𝐀𝐒 𝐓𝐄𝐑𝐆𝐄𝐋𝐈𝐍𝐂𝐈𝐑 𝐃𝐈 𝐉𝐄𝐓𝐈 𝐆𝐄𝐋𝐈𝐆𝐀 𝐂𝐇𝐄 𝐀𝐊𝐎𝐁

Seorang pemuda dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir ketika fenomena air pasang besar di Jeti Geliga Che Akob, Chukai, malam semalam. Mangsa dikenali sebagai Muhammad Anuar Syukrimie Mahmood, 31, merupakan penduduk Kampung Geliga Jambatan dan dilaporkan sedang duduk di jeti bersama beberapa rakan sebelum insiden berlaku. Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam ketika air pasang besar setinggi 3.7 meter melanda kawasan berkenaan. Mangsa dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam air sebelum dibawa arus deras. Rakan-rakan mangsa cuba menyelamatkan dan melakukan pencarian awal namun gagal mengesan keberadaan mangsa akibat keadaan air yang gelap dan deras.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohamad Hanif Che Khalid berkata, pihaknya hanya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2.26 petang hari ini sebelum menghantar 17 anggota ke lokasi operasi. "Pasukan bomba menjalankan pencarian pada radius satu kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh dengan bantuan dua bot," katanya. Operasi SAR turut disertai lapan anggota polis bersama sebuah bot selain dibantu seramai 33 orang awam.
Beliau berkata, faktor arus kuat serta keadaan perairan yang berombak sedikit menyukarkan operasi, namun usaha mencari mangsa masih diteruskan. Katanya, pasukan keselamatan akan menilai semula strategi pencarian dari semasa ke semasa bagi memastikan mangsa dapat ditemui dalam tempoh terdekat. Setakat ini, keadaan cuaca masih terkawal dan operasi dijangka diteruskan sehingga ke malam bergantung kepada keadaan keselamatan pasukan di lapangan.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama