GEORGE TOWN – Dua guru lelaki, termasuk seorang pesara, dihadapkan ke Mahkamah Majistret berasingan di Pulau Pinang atas tuduhan mencederakan seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun menggunakan rotan pada tahun 2023.
Tertuduh pertama, Choong Kean Beng, 59, didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Disiplin SMJK Chung Hwa Confucian pada 6 Disember 2023. Beliau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.
Pendakwaan dilakukan oleh Inspektor Zaida Azuwa Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam K. Mahendran. Mahkamah membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat agar tidak mengganggu mangsa dan saksi.
Sementara itu, tertuduh kedua, Lau Teik Hwa, 47, yang masih berkhidmat di sekolah sama, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan serupa melibatkan pelajar yang sama pada 2 Ogos 2023.
Pertuduhan terhadap kedua-dua mereka dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda, sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Mahkamah menetapkan 11 November depan bagi sebutan semula kes untuk kedua-dua tertuduh.
📍 Untuk info lanjut, lawati malaysiahariini.website
Tags
MALAYSIA HARI INI