𝐏𝐄𝐍𝐔𝐍𝐆𝐆𝐀𝐍𝐆 𝐌𝐎𝐓𝐎𝐒𝐈𝐊𝐀𝐋 𝐌𝐀𝐔𝐓 𝐑𝐄𝐌𝐏𝐔𝐇 𝐊𝐄𝐑𝐄𝐓𝐀 𝐁𝐄𝐑𝐇𝐄𝐍𝐓𝐈 𝐓𝐄𝐍𝐆𝐀𝐇 𝐉𝐀𝐋𝐀𝐍

JOHOR BAHRU – Seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 5, Jalan Skudai, Pantai Lido, menghala ke Skudai malam Ahad.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 7.10 malam apabila motosikal jenis Yamaha 15ZR yang ditunggang mangsa melanggar bahagian belakang sebuah kereta Proton Persona yang berhenti di tengah jalan akibat kesesakan lalu lintas. “Kereta berkenaan dipandu lelaki tempatan berusia 38 tahun berhenti di lorong tengah selepas kenderaan di hadapannya turut berhenti. Motosikal yang datang dari arah belakang dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang kereta tersebut,” katanya.
Tambah beliau, impak perlanggaran menyebabkan Proton Persona itu terdorong ke hadapan dan melanggar sebuah lagi kereta jenis Honda Jazz yang dipandu lelaki berusia 28 tahun, seorang operator kilang. “Penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA). Pembonceng pula mengalami kecederaan di kaki kiri dan mulut, kini dirawat di zon kuning HSA,” ujarnya.
Kedua-dua pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah tampil membuat laporan polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil ke Balai Trafik Johor Bahru Selatan atau menghubungi Inspektor Nurulhadi Ali di talian 019-5230102 bagi membantu siasatan. 📍 Untuk info lanjut, lawati malaysiahariini.website

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama