TRELER HILANG KAWALAN REMPUH POS KAWALAN DI FELDA KECHAU, DUA CEDERA
LIPIS – Detik cemas berlaku apabila sebuah treler tanpa muatan hilang kawalan lalu merempuh pos kawalan polis bantuan di Felda Kechau 8, Kilometer 5, Jalan Bandar Baru–Felda Kechau, pada Rabu pagi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, seorang anggota polis bantuan, Udan Angah, 23, dan pemandu treler berusia 28 tahun mengalami kecederaan, manakala seorang lagi anggota polis bantuan berusia 32 tahun terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man, siasatan awal mendapati treler berkenaan datang dari arah Sungai Temau menuju Kuantan sebelum hilang kawalan lalu melanggar pos kawalan dan sebuah kereta yang diletakkan berhampiran. Akibat hentaman kuat itu, atap serta dinding pos kawalan roboh dan menghempap motosikal milik anggota bertugas.
Kedua-dua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk mendapatkan rawatan lanjut. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis sedang mengesan saksi kejadian untuk membantu siasatan. Kami menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, memandu berhemah dan memastikan kenderaan diselenggara dengan baik bagi mengelakkan tragedi seperti ini berulang,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama orang ramai amat penting dalam membantu siasatan kes ini, sekali gus memastikan keselamatan di jalan raya dapat ditingkatkan
.