HADI AWANG GULUNG UCAPAN, TEKANKAN HALA TUJU ISLAM DAN PENYATUAN
ALOR SETAR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, 78, menutup Muktamar Tahunan Pas ke-71 dengan ucapan penggulungan selama hampir dua jam di Kompleks Pas Kedah, Selasa. Beliau yang mengekalkan jawatan presiden tanpa bertanding memulakan ucapan pada jam 2.15 petang dalam keadaan duduk dan berakhir kira-kira jam 4.12 petang.
Dalam ucapan itu, Abdul Hadi memberi penekanan terhadap hala tuju parti dengan menegaskan pentingnya kepimpinan berteraskan Islam, selain menekankan aspek penyatuan dan kebersamaan dalam kalangan umat. Beliau turut mengingatkan agar kepimpinan Pas tidak leka dengan permainan politik lawan yang cuba melemahkan perjuangan parti.
Abdul Hadi juga menyentuh soal calon Perdana Menteri daripada Pas, satu isu yang hangat diperkatakan sepanjang muktamar. Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa calon perlu dilihat dari sudut kepimpinan berlandaskan prinsip perjuangan Islam serta kemampuan memperkukuh perpaduan rakyat.
Ucapan beliau dihadapan kira-kira 4,200 perwakilan dari seluruh negara itu mendapat perhatian penuh apabila para hadirin kekal di dewan hingga selesai. Ucapan tersebut turut disiarkan secara langsung di media sosial bagi memberi peluang kepada penyokong Pas di seluruh negara mengikuti intipati amanat presiden.
Menurut Abdul Hadi, perjuangan Pas perlu terus dipandu oleh pendidikan Islam dan penghayatan nilai agama dalam kehidupan seharian rakyat. Beliau menegaskan istiqamah adalah kunci kepada kejayaan gerakan Islam dalam menghadapi pelbagai cabaran politik, sosial dan ekonomi semasa.