TIGA LELAKI BERDEPAN TINDAKAN UNDANG-UNDANG KERANA SIMPAN BANGKAI HARIMAU BELANG
Mersing, 16 September – Cubaan tiga lelaki berusia antara 28 hingga 49 tahun menyimpan bangkai seekor harimau belang (Panthera Tigris Jacksoni) berjaya dipatahkan pihak berkuasa dalam satu Operasi Bersepadu Khazanah di Felda Tenggaroh, di sini.
Operasi dijalankan oleh Unit Risikan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor hasil maklumat awam mengenai kegiatan pemburuan haram.
Komander Pasukan Simpanan Persekutuan Bukit Aman, SAC Rosli Md Yusof berkata, pihaknya menahan sebuah kereta Perodua Alza sebelum pemeriksaan menemukan bangkai harimau belang yang dipercayai mati akibat diburu secara haram.
“Susulan pemeriksaan itu, tiga lelaki ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang permit khas untuk menyimpan spesies yang dilindungi sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.
Turut dirampas ialah bangkai harimau, kenderaan dan empat unit telefon bimbit pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM294,007. Hasil siasatan awal mendapati harimau itu mengalami kecederaan serius dipercayai akibat jerat serta enam kesan tembakan di kepala yang menyebabkan kematian.
Kesemua suspek kini direman oleh Perhilitan Johor untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 70 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
SAC Rosli turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti pemburuan, penyeludupan atau pemerdagangan hidupan liar.
“Harimau belang adalah khazanah negara yang amat bernilai. Kehilangannya akibat kerakusan manusia merupakan pengkhianatan terhadap warisan bangsa serta keseimbangan ekosistem,” ujarnya.
Kehadiran harimau belang di Malaysia kini dianggarkan kurang daripada 150 ekor, menjadikan spesies ini sangat terancam. Insiden seperti ini sekali lagi membuktikan pentingnya tindakan tegas bagi melindungi spesies ikonik negara daripada pupus.
👉 Untuk info-info selanjutnya, lawati 📍 http://malaysiahariini.website