POLIS TAHAN LELAKI PEGANG PISAU ATAS BUMBUNG SELEPAS EMPAT JAM DIPUJUK
Polis menahan seorang lelaki berusia 48 tahun selepas hampir empat jam memujuknya turun dari bumbung sebuah rumah di Semenyih, Kajang, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 8.50 malam mengenai seorang lelaki yang hanya berseluar pendek, tidak berbaju, dan memegang sebilah pisau sambil berdiri di atas bumbung.
“Selepas usaha berterusan anggota polis dan bomba, suspek akhirnya berjaya diturunkan serta ditahan. Sebilah pisau turut dirampas,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati lelaki tempatan itu dipercayai mengalami masalah kesihatan mental. Suspek kemudian dibawa ke Hospital Kajang untuk penilaian lanjut.
Naazron memaklumkan semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 26 rekod kes lampau termasuk penyalahgunaan dadah. Tambahnya, lelaki itu juga bukan penduduk tempatan Semenyih dan pihak polis sedang menyiasat punca sebenar dia berada di kawasan berkenaan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh serta Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Khairie Ridhwan Azmi di talian 011-36307974 atau hadir ke balai berdekatan.
📍 Jom usha: http://malaysiahariini.website / https://malaysiahariininetwork.blogspot.com
.info lanjut dan Untuk berita terkini.