TOK MAT TEGUR MIC: JANGAN BERDIAM DALAM MESYUARAT BN, DI LUAR KELUAR KENYATAAN
SEREMBAN – Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan MIC supaya bersikap lebih telus dengan mengemukakan pandangan atau ketidakpuasan hati dalam mesyuarat Barisan Nasional (BN) dan bukannya berdiam diri tetapi bersuara di luar.
Menurutnya, tindakan mengeluarkan kenyataan di luar boleh menimbulkan salah faham selain mengganggu keharmonian dalam gabungan. Beliau menegaskan Dewan Tertinggi BN adalah forum terbaik untuk setiap parti komponen termasuk Umno, MCA dan MIC menyuarakan pandangan.
“Kalau ada pandangan, beritahulah... jangan isi hati dipendam dalam mesyuarat tapi di luar cakap lain, tak elok begitu. Sebaiknya jumpa dan bincang dalam Dewan Tertinggi BN,” katanya dipetik BH Online.
Teguran itu hadir selepas empat jawatankuasa perhubungan negeri MIC meluluskan usul agar parti keluar daripada BN, dengan alasan parti berkenaan tidak lagi dipertahankan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Kekecewaan MIC dan MCA turut menarik perhatian pembangkang, apabila Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, mengundang kedua-dua parti menyertai Perikatan Nasional (PN). Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula menyifatkan pelawaan itu sebagai perkembangan positif menjelang PRU-16.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung MIC, S Ananthan menegaskan sebarang keputusan parti dibuat demi kepentingan masyarakat India tanpa perlu bergantung kepada MCA.
📍 Jom usha: http://malaysiahariini.website / https://malaysiahariininetwork.blogspot.com
.info lanjut dan Untuk berita terkini.
.jpg)