MUHYIDDIN BONGKAR GERAKAN JATUHKAN PRESIDEN BERSATU
SHAH ALAM – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan wujud usaha segelintir pihak dalam parti yang mengutip tandatangan bagi menyingkirkannya daripada jawatan presiden.
Beliau menegaskan tindakan itu jelas bercanggah dengan perlembagaan Bersatu, yang menjadi panduan wajib dipatuhi semua ahli. “Kalau presiden boleh dijatuhkan melalui kutipan tandatangan, semua kepimpinan di atas pentas juga boleh dijatuhkan cara sama. Ingat, parti ini ada perlembagaannya, ada peraturannya,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 malam tadi.
Pendedahan itu dipercayai berkait dengan kemelut dalaman menjelang PAT, termasuk penularan surat layang yang memburukkan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Surat itu didakwa disebarkan menerusi WhatsApp, termasuk menggunakan nombor dari luar negara, dan menuduh Hamzah mempunyai agenda menggulingkan Muhyiddin.
Mengulas lanjut, Muhyiddin menekankan bahawa perpaduan adalah kunci kelangsungan parti politik. Katanya, sejarah menunjukkan banyak parti besar rebah kerana perpecahan dalaman, sesuatu yang perlu dijadikan pengajaran.
“Perpaduan hanya wujud bila semua ahli memahami perjuangan, sayang serta cintakan parti. Tanpa itu, kita tidak dapat fokus kepada usaha menyantuni rakyat dan memperhebat persiapan menghadapi pilihan raya,” ujarnya.
📍 Jom usha: http://malaysiahariini.website / https://malaysiahariininetwork.blogspot.com
.info lanjut dan Untuk berita terkini.
