LEBIH TIGA TAHUN TAMAT LESEN, PEMEGANG TIDAK LAYAK TERIMA SUBSIDI BUDI95


 

LEBIH TIGA TAHUN TAMAT LESEN, PEMEGANG TIDAK LAYAK TERIMA SUBSIDI BUDI95

PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini menegaskan rakyat Malaysia yang lesen memandu mereka tamat tempoh lebih tiga tahun tidak akan layak menerima subsidi bahan api RON95 di bawah program Budi Madani (Budi95).

Menurutnya, status lesen tidak aktif menjadikan individu terbabit terhalang secara automatik kerana sistem penebusan Budi95 kini telah diintegrasikan dengan pangkalan data Kementerian Kewangan (MoF). “Orang ramai tidak perlu lagi mengemukakan lesen ketika mengisi minyak, kerana sistem telah disambung secara automatik. Jika lesen tamat lebih tiga tahun, ia tidak sah dan terus disekat,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), terdapat seramai 2.4 juta pemegang lesen dalam kategori tidak aktif. Namun, bagi mereka yang lesen tamat kurang daripada tiga tahun, masih layak untuk subsidi tetapi perlu menduduki semula Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP02 dan KPP03) bagi tujuan pengaktifan semula.

Anthony turut mendedahkan sebanyak 925,421 pemegang lesen berada dalam tempoh tamat antara satu hingga tiga tahun. Sejak pengumuman mengenai Budi95, sebanyak 26,991 transaksi pembaharuan lesen memandu direkodkan menerusi MyJPJ, mySikap, kiosk dan kaunter JPJ di seluruh negara.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membiarkan lesen mereka luput terlalu lama bagi mengelakkan kehilangan hak menerima subsidi. –

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama