BUDI95: PENGUSAHA STESEN MINYAK SEDIA PELAN SANDARAN, RAKYAT NIKMATI SUBSIDI
KUALA LUMPUR – Orang ramai diberi jaminan bahawa pelaksanaan subsidi bersasar menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang bermula 27 September ini akan berjalan lancar tanpa menjejaskan bekalan dan transaksi di stesen minyak walaupun dijangka berlaku lonjakan penggunaan.
Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, pengusaha stesen minyak di seluruh negara telah bersedia dengan pelan sandaran operasi untuk meminimumkan gangguan agar rakyat tetap menikmati harga subsidi RM1.99 seliter.
“Kita tidak mahu susahkan rakyat, sebaliknya mahu pastikan mereka tetap dapat harga RM1.99 meskipun berlaku gangguan sistem. Pelan kesinambungan perniagaan sudah disusun rapi,” katanya pada program Ruang Bicara terbitan BERNAMA TV.
Beliau berharap orang ramai bersabar sekiranya berlaku kelewatan transaksi dan menegaskan pengusaha akan membantu pelanggan mendapatkan hak subsidi mereka.
Pada Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengurangan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter menerusi penyasaran subsidi BUDI95. Menurut Kementerian Kewangan, pelaksanaan akan bermula dengan 300,000 anggota tentera dan polis pada 27 September, diikuti penerima STR pada 28 September, dan seluruh rakyat berusia 16 tahun ke atas dengan MyKad serta lesen memandu aktif mulai 30 September.
Penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid menyifatkan langkah ini sebagai keberanian politik kerajaan yang mampu memberikan penjimatan besar negara dan membolehkan dana diagihkan semula kepada sektor kritikal seperti kesihatan.
👉 Untuk berita terkini dan info menarik, lawati 📍 http://malaysiahariini.website
