KEMALANGAN NGERI DI P-TURN SKRANG: DUA TERKORBAN, 11 CEDERA PARAH

KEMALANGAN NGERI DI P-TURN SKRANG: DUA TERKORBAN, 11 CEDERA PARAH BETONG, 26 Sept — Suasana di kawasan P-Turn Skrang gempar tengah hari tadi apabila sebuah Toyota Land Cruiser bertembung dengan sebuah van sewa, mengakibatkan dua nyawa terkorban dan 11 mangsa lain cedera parah.
Bilik Gerakan Mer’s APM Betong menerima panggilan kecemasan daripada pihak hospital sebelum menghantar pasukan penyelamat dengan kekuatan seorang pegawai, empat anggota serta sebuah ambulans 4x4. Operasi diketuai Lt. M (PA) Mohd Faizul Bin Johari.
Setibanya di lokasi, pasukan APM mendapati Land Cruiser membawa lima mangsa termasuk seorang bayi, manakala van sewa berkenaan ditumpangi lapan penumpang dipercayai daripada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas). Empat dewasa dalam Land Cruiser cedera parah manakala bayi hanya mengalami kecederaan ringan. Bagi penumpang van pula, dua maut di tempat kejadian, empat cedera parah dan dua cedera ringan. Kesemua mangsa van dianggarkan berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun. Pasukan APM membawa seorang lelaki yang cedera parah ke Hospital Betong, manakala mangsa lain dibawa oleh pasukan KKM serta Bomba. Dua mayat di tempat kejadian telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Menurut jurucakap APM, punca nahas masih dalam siasatan polis. Insiden ini sekali lagi mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, khususnya di kawasan berselekoh dan persimpangan berbahaya.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama