DESAKAN BAYARAN HUTANG TELEFON BERAKHIR TRAGEDI BUNUH DI KENINGAU
Keningau – Polis berjaya membongkar kes pembunuhan seorang peniaga warga Pakistan berusia 30 tahun yang ditemui mati ditanam di Kampung Kitung, Jalan Keningau, selepas menahan dua lelaki warga Filipina yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati mangsa dibunuh selepas berulang kali menuntut bayaran ansuran telefon bimbit daripada suspek utama berusia 33 tahun. Difahamkan, baki hutang hanya RM50 tetapi suspek gagal membuat bayaran selama empat bulan berturut-turut sehingga mencetuskan pertengkaran.
“Suspek utama mengaku membunuh mangsa seorang diri kerana tidak tahan terus didesak. Mayat kemudian ditanam berhampiran kebun getah tidak jauh dari rumahnya,” katanya.
Penahanan suspek pertama di Kampung Sayur membawa kepada penangkapan seorang lagi lelaki Filipina berusia 37 tahun di Kampung Kilang Bata. Walaupun menafikan penglibatan secara langsung, suspek kedua mengaku membantu mengangkat mayat ke dalam lubang yang digali serta menyuluh kawasan menggunakan telefon bimbit.
Mayat mangsa ditemui polis pada 23 September lalu, kira-kira 100 meter dari rumah suspek utama yang bekerja sebagai penjaga kebun getah. Suspek turut tinggal bersama tiga anak di kawasan berkenaan.
Kedua-dua suspek kini direman sehingga 3 Oktober depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Polis masih meneruskan siasatan lanjut termasuk mendapatkan laporan forensik bagi melengkapkan kertas siasatan.
Tags
MALAYSIA HARI INI
