HARIMAU MALAYA CIPTA SEJARAH, TUMPASKAN PALESTIN 1-0 HASIL JARINGAN AWAL FIGUEIREDO


 

HARIMAU MALAYA CIPTA SEJARAH, TUMPASKAN PALESTIN 1-0 HASIL JARINGAN AWAL FIGUEIREDO
Malaysia membuktikan kemampuan apabila menewaskan Palestin 1-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. Perlawanan penuh dramatik itu menyaksikan penyerang sensasi, Joao Figueiredo terus membuktikan ketajaman penyudahnya dengan meledak gol tunggal pada minit ketiga selepas menerima hantaran lintang leret Quentin Cheng.

Palestin, yang berada dalam ranking ke-98 dunia, tidak mudah mengalah apabila berusaha keras mencari gol penyamaan. Walaupun penjaga gol mereka, Rami Hamada menafikan beberapa percubaan berbahaya daripada Figueiredo dan Arif Aiman, peluang terbaik Palestin hadir pada masa tambahan separuh masa kedua. Sepakan percuma Wessam Abou Ali hampir merobek gawang, namun hanya sekadar menggegarkan tiang.

Kejayaan ini bukan sahaja mengekalkan rekod tanpa kalah skuad Harimau Malaya di bawah kendalian jurulatih Australia, Peter Cklamovski, malah memberi keyakinan menjelang kempen Pusingan Kelayakan Piala Asia 2027. Dengan empat kemenangan dan satu keputusan seri setakat ini, Malaysia kini semakin menyerlah di pentas antarabangsa.

Turut mencuri perhatian ialah penampilan sulung pemain warisan, Richard Chin yang dimasukkan pada minit ke-80 menggantikan Quentin Cheng. Kehadirannya menambah variasi pilihan buat barisan kejurulatihan.

Kali terakhir Malaysia menewaskan Palestin ialah pada tahun 2001 menerusi kemenangan 4-3 di Doha, Qatar. Kini, kemenangan bersejarah di Iskandar Puteri menjadi bukti kebangkitan skuad kebangsaan. Malaysia bakal berdepan Laos pada Oktober ini dalam aksi kelayakan penting.

📍 Jom usha: http://malaysiahariini.website
.info lanjut dan Untuk berita terkini.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama