EMPAT SEKELUARGA MAUT: PEMANDU TRELER BERJAYA DAPAT KEBENARAN RAYU
PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini memberi kebenaran kepada bekas pemandu treler, Y. Vethri Vel, untuk meneruskan rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara lapan tahun serta denda RM80,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan bersama Datuk Azmi Ariffin dan Ong Chee Kwan turut membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan. Vethri, 31, dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Kes berkenaan berpunca daripada tragedi kemalangan di Kilometer 37, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, Sungai Siput, pada 13 Februari 2020. Dalam kejadian itu, empat sekeluarga maut iaitu Mohamad Faiz Bakhari, 28; isterinya, Nik Ledayu Nik Hassan, 30; anak mereka, Muhammad Faqih Irsyad, 16 bulan; serta adik ipar Nik Ledayu, Nik Ifeka Nik Hassan, 27. Seorang lagi mangsa terselamat, Muhammad Fariz Iskandar, cedera parah.
Pada peringkat awal, Mahkamah Majistret Sungai Siput mensabitkan Vethri atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol dan menjatuhkan hukuman penjara empat tahun serta denda RM10,000. Namun, Mahkamah Tinggi kemudian meminda pertuduhan kepada memandu secara melulu di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, sekaligus menggandakan hukuman kepada lapan tahun penjara dan denda RM80,000.
Rayuan ini akan menentukan dua persoalan undang-undang utama berkaitan pindaan pertuduhan oleh Mahkamah Tinggi.
📍 http://malaysiahariini.website
🚀 Peluang untuk cuba cara baru jana wang online!
