Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan berlaku kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sehingga menimbulkan persoalan berhubung status pemain warisan yang mewakili skuad kebangsaan.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dalam kenyataan rasmi berkata, perkara itu berpunca daripada kecuaian kakitangan pentadbiran dan siasatan dalaman telah dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar.
“FAM ingin memaklumkan bahawa kami telah mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran. FAM mengambil serius perkara ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa para pemain warisan yang menjadi subjek isu terbabit sah sebagai rakyat Malaysia dan berhak untuk terus mewakili pasukan negara.
Noor Azman berkata, FAM kini menunggu keputusan penuh penghakiman daripada FIFA sebelum mengambil langkah seterusnya dengan mengemukakan rayuan rasmi, selaras dengan prosedur yang ditetapkan badan induk bola sepak dunia itu.
Kesilapan teknikal ini dilihat sebagai faktor utama yang mencetuskan reaksi FIFA, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan mengenai kelangsungan pemain warisan.
FAM memberi jaminan bahawa segala langkah penambahbaikan akan diambil agar perkara sama tidak berulang, selain menegaskan komitmen penuh untuk melindungi kepentingan pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa.
FAM SAH KESILAPAN TEKNIKAL, STATUS PEMAIN WARISAN MASIH TERJAMIN
byMALAYSIA HARI INI
-
0
