PEMANDU E-HAILING DIDAKWA BUNUH, TANAM ANAK DI TEPI JALAN DI ROMPIN, JEMPOL



PEMANDU E-HAILING DIDAKWA BUNUH, TANAM ANAK DI TEPI JALAN DI ROMPIN, JEMPOL

JELEBU – Seorang bapa berusia 36 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh anak kandungnya yang berusia enam tahun, sebelum mayat mangsa ditemui ditanam di tepi Jalan Kilometer 25, Rompin, Bahau.

Tertuduh, M Arunkumar, seorang pemandu e-hailing, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norshazwani Ishak, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh anaknya, A Tishant, antara jam 9.02 pagi hingga 12.55 tengah hari pada 23 Julai 2025. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi, tidak menawarkan jaminan dan memohon laporan bedah siasat disediakan sebelum sebutan semula kes.

Mayat mangsa sebelum ini ditemukan tertanam, beberapa hari selepas suspek mendakwa anaknya hilang di Iskandar Puteri, Johor. Hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat jerutan menggunakan pengikat kabel. Mahkamah menetapkan 10 September untuk sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi Seremban.


 

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama