HQ BS SUPERMART DI MUARA TABUAN TERBAKAR, ASAP TEBAL DILIHAT DARI BEBERAPA KAWASAN
KUCHING – Kebakaran besar sedang melanda HQ store BS Supermart yang terletak di kawasan perindustrian ringan Muara Tabuan Light Industrial Park. Kebakaran yang berlaku tengah hari ini menyebabkan kepulan asap tebal dapat dilihat dari kawasan sekitar termasuk Petrajaya, MJC, UNIMAS Samarahan dan Bandar Baru Semariang.
Tiga balai bomba – Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan, Batu Lintang dan Padungan – telah menghantar anggota bersama dua jentera bomba dan sebuah water tanker untuk mengawal kebakaran. Pegawai bomba bertugas turut berada di lokasi bersama anggota polis dari Balai Polis Tabuan Jaya dan wakil dari SESCO bagi menangani risiko elektrik.
Menurut sumber bomba, operasi pemadaman sedang giat dijalankan dengan mengambil kira faktor cuaca panas yang memburukkan keadaan. Setakat ini, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Orang awam dinasihatkan untuk menjauhi kawasan kejadian bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas dengan selamat dan tanpa gangguan. Pihak bomba masih menilai punca kejadian dan anggaran kerugian.
