KUALA LUMPUR – Isu warga asing menggunakan petrol bersubsidi RON95 sekali lagi mencuri perhatian selepas tular rakaman seorang lelaki Singapura mengisi minyak di sebuah stesen di selatan tanah air.
Video berdurasi pendek itu menunjukkan pemuda tempatan menegur tindakan warga asing berkenaan sebelum dia berlalu pergi. Walaupun cubaan tersebut sempat digagalkan, insiden itu menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat yang beranggapan penguatkuasaan masih longgar.
Netizen menzahirkan gesaan supaya stesen minyak lebih tegas, antaranya dengan menempatkan petugas khas di setiap pam atau mengembalikan peranan pump attendant bagi mengelakkan rakyat asing terus mengambil kesempatan.
Malah, ada yang berpendapat pemilik stesen minyak perlu dipertanggungjawabkan, dan sekiranya gagal mengawal keadaan, denda tinggi wajar dikenakan terhadap kedua-dua pihak terbabit.
Isu ini sekali lagi membuka persoalan mengenai keberkesanan penguatkuasaan lapangan serta peranan pengusaha stesen dalam memastikan hanya rakyat tempatan menikmati subsidi bahan api yang diperuntukkan kerajaan.
📢 Untuk berita penuh & isu semasa terkini: http://malaysiahariini.website / https://malaysiahariininetwork.blogspot.com