Terengganu tidak merekodkan sebarang kes bunuh dan samun bersenjata api bagi tempoh 2024 dan 2025, sekali gus membuktikan tahap keselamatan negeri berada dalam keadaan baik dan terkawal. Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan usaha serta komitmen seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu dalam membanteras jenayah.
Menurut beliau, pendekatan kepolisan komuniti yang dilaksanakan secara konsisten di setiap daerah turut membantu mewujudkan persekitaran yang selamat kepada masyarakat.
“Pencapaian ini membuktikan Terengganu boleh dikategorikan sebagai sebuah negeri yang selamat,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Terengganu di Kuala Nerus.
Namun, beliau memaklumkan kes rogol dan sumbang mahram menunjukkan peningkatan dengan 94 kes direkodkan pada 2025 berbanding 90 kes pada tahun sebelumnya. Kebanyakan mangsa melibatkan remaja berusia antara 13 hingga 16 tahun dan peningkatan itu dipercayai dipengaruhi pendedahan kepada pornografi serta kandungan tidak bermoral di media sosial.
Selain itu, kes kecurian masih menjadi penyumbang tertinggi jenayah di negeri itu, termasuk kecurian kabel dan besi, namun mencatatkan penurunan daripada 741 kes pada 2024 kepada 674 kes pada 2025.
Mohd Khairi turut menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan jenayah komersial, khususnya penipuan dalam talian yang sering melibatkan golongan pesara, dengan peningkatan lebih 53 peratus kes direkodkan pada 2025 berbanding tahun sebelumnya.
Tags
MALAYSIA HARI INI
