KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, menegur Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad, agar tidak bersikap “lebih Hamas daripada Hamas” selepas mengkritik keputusan kerajaan menjemput Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Mohamad menjelaskan, kenyataan Wan Ahmad Fayhsal yang mempersoalkan manfaat menjemput Trump tidak wajar kerana Hamas sendiri menyambut baik cadangan Pelan 20 yang dikemukakan oleh Presiden AS itu. Menurutnya, pelan tersebut antara lain bertujuan menghentikan pengeboman Israel di Gaza, mengurangkan kemusnahan dan membuka ruang bagi penghantaran bantuan kemanusiaan ke wilayah berkenaan.
“Janganlah kita lebih Hamas daripada Hamas. Kalau Hamas sendiri terbuka terhadap Pelan 20, kenapa kita tidak boleh melihatnya secara objektif?” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat.
Beliau turut menegaskan Malaysia menyokong pelan berkenaan secara berhati-hati kerana masih terdapat kelompangan, termasuk soal pengunduran penuh Israel dari Gaza serta hak penentuan nasib rakyat Palestin.
Mengulas lawatan Trump ke Kuala Lumpur, Mohamad berkata, jemputan tersebut dibuat atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN yang berkewajipan menjemput semua rakan dialog tanpa terkecuali. Katanya, lawatan itu juga akan dimanfaatkan untuk Malaysia menyuarakan pendirian tegas mengenai isu Gaza dan memperkukuh kerjasama serantau dengan AS serta negara-negara ASEAN lain bagi menubuhkan Palestin yang merdeka.
‘JANGAN LEBIH HAMAS DARI HAMAS’ – TIMBALAN MENTERI LUAR TEGUR WAN AHMAD FAYHSAL
byMALAYSIA HARI INI
-
0