KUALA LUMPUR – Seorang lagi mangsa yang terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, Sabtu lalu, disahkan meninggal dunia pagi ini.
Mangsa, Mohd Hafizi Anuar, 48, meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kajang akibat kecederaan parah dialaminya.
Menurut adiknya, Mohd Haswad Anuar, arwah sebelum ini dirawat secara intensif selepas kemalangan yang turut mengorbankan seorang bayi dan mencederakan lapan individu lain. “Saya sahkan abang saya sudah meninggal dunia. Allahyarham meninggalkan dua cahaya mata dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Raja Uda, Klang,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, turut mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan siasatan masih dijalankan. “Mangsa merupakan orang awam berusia 48 tahun dan disahkan meninggal dunia pada jam 11 pagi. Jenazah akan diserahkan kepada keluarga selepas bedah siasat selesai,” katanya.
Difahamkan, Mohd Hafizi yang bertugas di Jabatan Kerja Raya (JKR) Shah Alam bersama seorang rakan sekerja baru sahaja selesai tugasan di Penjara Kajang sebelum pacuan empat roda Nissan X-Trail yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori.
Kematian ini menjadikan dua mangsa terkorban dalam tragedi tersebut yang turut mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap tahap keselamatan di plaza tol berkenaan.
📍Untuk info lanjut, layari malaysiahariini.website
Tags
MALAYSIA HARI INI