KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 40-an yang mendakwa menjadi mangsa sindiket pinjaman wang tanpa lesen (‘along’) tampil mendedahkan bahawa dia ditawar sogokan sebanyak RM500 oleh seorang pegawai polis bagi menarik semula laporan yang dibuatnya minggu lalu.
Mangsa berkata, selepas membuat laporan polis berhubung ugutan diterimanya daripada along, dia dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk memberi keterangan pada 1 Oktober lalu. Namun, ketika berada di bilik Penolong Pegawai Penyiasat, dia mendakwa dilayan secara tidak wajar apabila terpaksa menulis keterangan di atas lantai kerana tidak dijemput duduk.
“Saya berasa terhina. Saya datang sebagai mangsa, bukan pesalah. Saya hanya mahu melaporkan jenayah, tetapi dilayan seolah-olah bersalah,” katanya.
Dua hari selepas itu, mangsa mendakwa dihubungi semula oleh pegawai sama yang menawarkan RM500 serta meminta dia menarik balik laporan berkenaan. Menurutnya, pegawai terbabit turut memberi amaran bahawa kes itu akan diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA) jika dia enggan berbuat demikian.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, mengesahkan pihaknya menerima aduan daripada mangsa dan telah memaklumkan perkara itu kepada Ketua Polis Daerah.
“Kita mahu siasatan bukan sahaja dibuat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, tetapi juga memastikan siasatan dijalankan secara adil bagi melindungi kepentingan orang awam,” katanya.
Polis dijangka menyiasat dakwaan tersebut dan memastikan integriti siasatan tidak tergugat.
Tags
MALAYSIA HARI INI