KUALA LUMPUR – Kerajaan komited memperketat penguatkuasaan terhadap golongan suami yang culas dalam membayar nafkah kepada bekas isteri serta anak, sebagai usaha melindungi kebajikan keluarga pasca perceraian.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, langkah tersebut dilaksanakan melalui peruntukan undang-undang sedia ada di Mahkamah Syariah, sekali gus memberi kuasa kepada pihak berautoriti untuk mengambil tindakan sewajarnya apabila keculasan berlaku.
Menurut beliau, beberapa inisiatif telah dan sedang digerakkan, termasuk usaha menyita simpanan kewangan bekas suami yang ingkar membayar nafkah. Katanya, Bahagian Sokongan Keluarga di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut berbincang dengan Bank Negara Malaysia bagi memastikan proses sitaan dapat dilaksanakan menerusi perintah mahkamah.
“Ini langkah terbaik untuk membantu mereka yang memerlukan, terutama wanita dan anak yang bergantung kepada nafkah untuk kelangsungan hidup,” katanya kepada media selepas menghadiri program Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) Peduli di Kampung Paya Redan.
Beliau turut menegaskan bahawa isu nafkah bukan hanya berkait tanggungjawab moral, tetapi termaktub sebagai kewajipan undang-undang yang boleh dikuatkuasakan jika diabaikan.
Dalam pada itu, Dr. Zulkifli berkata pelaksanaan Pelan Transformasi Al-Falah MADANI akan terus menjadi platform memperkukuh kefahaman rakyat mengenai konsep Malaysia MADANI, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai peranan institusi keluarga dan sokongan sosial.
📍 Untuk info-info selanjut lawati malaysiahariini.website
Tags
MALAYSIA HARI INI
