PUTRAJAYA – Keputusan AirAsia membenarkan kru kabin memakai pakaian menutup aurat, termasuk berhijab, disifatkan sebagai langkah progresif yang wajar dijadikan penanda aras kepada industri penerbangan tempatan. Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata dasar itu bukan sahaja menepati tuntutan beragama, malah selari dengan realiti demografi negara yang majoritinya beragama Islam.
Menurut beliau, keputusan tersebut mencerminkan kefahaman industri terhadap kebebasan beragama yang dijamin Perlembagaan, serta menyokong budaya kerja lebih inklusif dalam ekonomi moden. Beliau percaya pendekatan berorientasikan nilai agama dan budaya pekerja mampu meningkatkan motivasi, kepuasan kerja serta imej korporat.
“Banyak syarikat global telah bergerak ke arah ‘faith-friendly workplace’, dan langkah AirAsia menempatkan Malaysia seiring dengan perkembangan tersebut,” katanya melalui kenyataan di media sosial.
Dalam masa sama, beliau menegaskan industri penerbangan negara seharusnya memperkenalkan standard yang mencerminkan identiti nasional, bukan hanya dari sudut perkhidmatan.
Beliau turut menyentuh keperluan menilai semula penyediaan minuman keras dalam penerbangan domestik, memandangkan faktor keselamatan dan norma sosial yang lebih konservatif di negara ini.
“Beberapa negara telah mengehadkan atau menghentikan penjualannya tanpa menjejaskan daya saing industri,” ujarnya.
Tuan Ibrahim menyifatkan keputusan AirAsia sebagai manifestasi keberanian pengurusan korporat memahami nilai masyarakat, selain responsif terhadap tuntutan semasa.
Sebelum ini, AirAsia mengumumkan pembaharuan polisi pakaian seragam kru kabin, bagi memberi pilihan kepada pekerja wanita untuk memakai hijab semasa bertugas.
📍 Untuk info lanjut, lawati malaysiahariini.website
KEPUTUSAN AIRASIA JADIKAN HIJAB PILIHAN KRU KABIN DIPUJI SEBAGAI LANGKAH BERANI
byMALAYSIA HARI INI
-
0
