KUALA LUMPUR – Lapan individu yang ditahan susulan insiden kekecohan di Kampung Sungai Baru di sini dijangka dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan bahawa kertas siasatan berhubung kes berkenaan telah lengkap dan pihak polis telah menerima arahan pertuduhan daripada Jabatan Peguam Negara.
Menurut beliau, kesemua individu terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan merusuh. Selain itu, seorang daripada suspek turut berdepan pertuduhan tambahan di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas sehingga menyebabkan kecederaan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Hi Tea Apresiasi Polis Kuala Lumpur bersama Media Tahun 2025 yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara, hari ini. Datuk Fadil menegaskan bahawa perbuatan menghalang penjawat awam semasa menjalankan tugas merupakan satu kesalahan serius yang tidak boleh dipandang ringan.
“Tindakan pendakwaan ini diharap dapat memberi pengajaran kepada individu terlibat serta menjadi peringatan kepada orang ramai agar tidak bertindak di luar undang-undang,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa individu ditahan bagi membantu siasatan selepas seorang pegawai kanan polis mengalami kecederaan ketika berlaku insiden rempuhan penduduk di Kampung Sungai Baru pada 11 September lalu. Kes tersebut mendapat perhatian umum berikutan melibatkan keselamatan anggota penguat kuasa ketika menjalankan tugas rasmi.
Tags
MALAYSIA HARI INI
