KEPUTUSAN MAHKAMAH TIDAK MAMPU PADAM JASA SEUMUR HIDUP – YANA NAJIB

PETALING JAYA – Nooryana Najib, anak kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, memuat naik sekeping gambar menyentuh emosi di Insta Story miliknya susulan keputusan mahkamah terhadap bekas Perdana Menteri itu petang tadi. Menerusi hantaran berkenaan, Nooryana yang lebih dikenali sebagai Yana Najib menzahirkan sokongan moral serta kata-kata semangat buat bapanya. Beliau menulis bahawa keputusan mahkamah tidak mampu memadam seumur hidup jasa, kasih sayang dan komitmen yang telah dicurahkan oleh Najib kepada rakyat sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Selain itu, Yana turut menyatakan mesej ketabahan dengan menyebut bahawa keluarganya akan terus kekal berharap dan kuat dalam menghadapi ujian berkenaan. Hantaran tersebut jelas menggambarkan sokongan padu seorang anak terhadap bapanya dalam situasi mencabar. Dalam perkongsian sama, Yana memuat naik gambar Najib sedang memandang ke arah cucunya, yang disifatkannya sebagai momen paling manis dilihat pada hari tersebut. Gambar berkenaan turut disertakan kapsyen ringkas bersama simbol hati merah. Terdahulu, Mahkamah Tinggi mendapati Datuk Seri Najib Tun Razak bersalah atas 25 pertuduhan berkaitan penyelewengan dana berjumlah RM2.3 bilion membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap semua pertuduhan yang dikemukakan.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama