PETALING JAYA – Suasana kecoh berlaku di luar Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) selepas ribuan penyokong Selangor FC (SFC) meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan pasukan seusai perlawanan menentang Persib Bandung dalam saingan Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) malam tadi.
Dalam perlawanan tersebut, Red Giants tewas 3-2 meskipun mendahului 2-0 pada separuh masa pertama melalui jaringan Chrigor Moraes dan gol sendiri pertahanan lawan. Namun, Persib bangkit dengan tiga gol di babak kedua hasil ledakan Andrew Jung serta dua jaringan Adam Alis Setyano.
Kekalahan itu merupakan yang keempat berturut-turut buat Selangor sekali gus menamatkan kempen tanpa sebarang mata dalam Kumpulan G.
Sebaik wisel penamat ditiup, ribuan penyokong berkumpul di pintu utama stadium sambil melaungkan nama Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Dr Johan Kamal Hamidon. Mereka mendesak agar pihak pengurusan tampil memberi penjelasan berhubung prestasi hambar pasukan yang dianggap gagal mempertahankan maruah Red Giants di pentas Asia.
Difahamkan, ada segelintir penyokong bertindak merempuh masuk ke kawasan utama tempat duduk dan cuba menuju ke bilik VIP untuk mencari Dr Johan. Malah, beberapa penyokong turut dilihat menutup pintu keluar stadium sebagai tanda protes.
Keadaan berjaya dikawal selepas campur tangan pihak keselamatan yang menenangkan keadaan.
📍 Untuk info lanjut, lawati malaysiahariini.website
𝐏𝐄𝐍𝐘𝐎𝐊𝐎𝐍𝐆 𝐒𝐄𝐋𝐀𝐍𝐆𝐎𝐑 𝐌𝐄𝐍𝐆𝐀𝐌𝐔𝐊 𝐃𝐈 𝐒𝐓𝐀𝐃𝐈𝐔𝐌 𝐌𝐁𝐏𝐉, 𝐓𝐔𝐍𝐃𝐀 𝐏𝐑𝐎𝐓𝐄𝐒 𝐂𝐀𝐑𝐈 𝐃𝐑 𝐉𝐎𝐇𝐀𝐍
byMALAYSIA HARI INI
-
0
