KLANG – Tular satu video di media sosial memaparkan seorang lelaki terbaring berlumuran darah selepas ditembak di sebuah stesen minyak di Bukit Tinggi, di sini, pada malam Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa yang dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an cedera parah di bahagian perut dan dada selepas ditembak dari jarak dekat oleh individu tidak dikenali. Rakaman video berdurasi 24 saat itu menunjukkan suasana cemas dengan beberapa orang awam menjerit meminta bantuan kecemasan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan. Menurutnya, kenyataan rasmi berhubung kes itu akan dikeluarkan oleh Ketua Polis Selangor dalam masa terdekat.
“Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.
Difahamkan, mangsa yang mempunyai beberapa rekod jenayah lampau kini menerima rawatan di hospital berhampiran dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Polis turut meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi mengenal pasti suspek yang terlibat serta motif serangan tersebut.
Kejadian itu turut mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial apabila video tembakan berkenaan menjadi tular dengan ribuan perkongsian dalam tempoh singkat
Tags
MALAYSIA HARI INI