BINTULU, 1 Okt – Rangka manusia ditemui dalam perut seekor buaya yang berjaya ditangkap di Sungai Semanok, Tatau, pagi tadi selepas empat hari operasi mencari seorang lelaki yang dilaporkan hilang di kawasan sungai berkenaan.
Menurut kenyataan Laporan Gerakan Operasi Bomba Sarawak, buaya tersebut dipercayai terlibat dalam serangan terhadap seorang pemuda, Jeffery Masing Anak Win, 21 tahun, yang dilaporkan hilang pada Sabtu lalu ketika mandi bersama abangnya. Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan disambar buaya secara tiba-tiba dan terus dibawa ke tengah sungai, manakala usaha abangnya untuk menyelamatkan mangsa gagal.
Selepas insiden itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan melibatkan pihak Bomba, Sarawak Forestry Corporation (SFC), serta penduduk kampung. Buaya berkenaan akhirnya berjaya ditangkap oleh penduduk tempatan sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.
Dengan bantuan anggota bomba, pasukan SFC melakukan pembedahan ke atas reptilia tersebut. Hasil pembedahan mendapati terdapat beberapa bahagian tubuh manusia termasuk kepala, rahang, perut dan paha di dalam perut buaya berkenaan. Semua penemuan tersebut kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, termasuk proses pengecaman dan siasatan.
Insiden ini sekali lagi menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat berhubung keselamatan di kawasan sungai yang sering menjadi lokasi aktiviti harian seperti mandi-manda, menangkap ikan dan mencari hasil hutan. Penduduk kampung juga dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan tidak melakukan aktiviti berisiko tinggi di kawasan yang dikenal pasti sebagai habitat reptilia berbahaya itu.
Kes serangan buaya di kawasan pedalaman Sarawak bukanlah perkara baharu, namun tragedi kali ini meninggalkan kesedihan mendalam kepada keluarga mangsa, yang masih terkejut dengan kejadian menimpa anak muda berusia 21 tahun itu.
Tags
MALAYSIA HARI INI
