WANITA DIDAKWA LAKUKAN KEKERASAN JENAYAH TERHADAP SULTAN NAZRIN, DIPERINTAH JALANI RAWATAN


 WANITA DIDAKWA LAKUKAN KEKERASAN JENAYAH TERHADAP SULTAN NAZRIN, DIPERINTAH JALANI RAWATAN

IPOH – Seorang wanita berusia 41 tahun, Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas tuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak, 31 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan, kesalahan dilakukan di hadapan Bangunan Dewan Bandaran Ipoh pada jam 8.20 pagi ketika lagu kebesaran negeri dimainkan. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pasukan pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani memohon agar pengakuan tidak direkodkan kerana tertuduh disahkan menghidap skizofrenia ketika ditahan. Permohonan dibuat supaya tertuduh menjalani pemeriksaan lanjut di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah, selaras dengan Akta Kesihatan Mental 2001.

Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan kemudian memerintahkan tertuduh ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta selama sebulan bagi rawatan dan penilaian lanjut. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 8 Oktober depan, manakala tiada jaminan diberikan.

Terdahulu, wanita berpakaian serba hitam itu dilaporkan berlari ke arah Sultan Nazrin ketika baginda memberi tabik hormat. Semakan mendapati tertuduh mempunyai rekod kes dadah dan rawatan psikiatri, serta kini kekal di bawah pengawasan pakar.

📍 Jom usha: http://malaysiahariini.website
.info lanjut dan Untuk berita terkini.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama