SABAH PERLU PEMIMPIN BERWAWASAN UNTUK BANGUNKAN NEGERI – NURUL IZZAH
SANDAKAN – Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan Sabah memerlukan wakil rakyat yang benar-benar memahami visi dan misi pembangunan negeri, demi memastikan masa depan lebih baik dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Menurutnya, cabaran pembangunan di Sabah bukan sahaja melibatkan sektor ekonomi dan infrastruktur, tetapi juga isu kewarganegaraan serta legasi pemerintahan terdahulu yang masih memberi kesan kepada rakyat. “Pemimpin bervisi amat penting. Ia tidak bergantung kepada jumlah kerusi yang ditandingi, sebaliknya kepada kemampuan membawa nilai tambah untuk rakyat,” katanya ketika ditemui pada program Jelajah Sabah Bersama Madani di Sandakan, Jumaat.
Nurul Izzah berkata, meskipun PKR menyasarkan 13 kerusi dalam PRN ke-17 akan datang, keutamaan ialah memastikan calon dipilih ialah anak jati Sabah, agar suara rakyat negeri ini lebih terserlah di peringkat nasional.
Tambah beliau, walaupun terdapat sentimen pengundi yang cenderung kepada parti tempatan, ia bukan halangan besar kerana calon yang diketengahkan PKR semuanya anak negeri. “Sejak 1999, PKR telah berakar di Sabah dan kami mahu kekal membawa suara rakyat negeri ini,” jelasnya.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 dijangka terbubar secara automatik pada 11 November depan, sekali gus membuka jalan kepada PRN ke-17.
📍Untuk info-info selanjut lawati http://malaysiahariini.website
