SABAH DILANDA BANJIR DAN TANAH RUNTUH, 12 TERKORBAN DAN RIBUAN DIPINDAHKAN
KOTA KINABALU – Sabah berdepan tragedi berganda apabila tanah runtuh sejak Jumaat lalu meragut sekurang-kurangnya 12 nyawa termasuk lima kanak-kanak, di samping banjir besar yang memaksa ribuan penduduk berpindah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, mengesahkan tujuh mangsa, termasuk empat kanak-kanak berusia dua hingga sembilan tahun, maut selepas tertimbus di Kampung Cenderakasih, Inanam. Dua lagi korban, seorang wanita dan kanak-kanak lelaki, ditemukan di Papar selepas rumah mereka dihempap tanah runtuh di Kampung Mook. Di Kampung Marahang Tuntul, dua lagi nyawa terkorban, manakala seorang warga emas berusia 97 tahun meninggal dunia di Penampang.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) melaporkan seramai 1,648 penduduk daripada 417 keluarga dipindahkan ke 14 pusat pemindahan sementara di Penampang, Membakut, Papar, Putatan dan Beaufort.
Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan segera RM10 juta menerusi NADMA, tambahan kepada RM11 juta yang disalurkan kerajaan negeri untuk membaiki kemudahan asas. Bantuan Wang Ihsan turut diagihkan – RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah berpindah, serta RM10,000 kepada waris mangsa terkorban.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan fokus kerajaan Madani adalah keselamatan dan kebajikan rakyat. Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, memaklumkan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri dibatalkan demi menumpukan usaha menyelamat dan pemulihan.
Kerajaan negeri bersama agensi penyelamat kini terus giat mengurus krisis, menyelaras operasi mencari mangsa, menyalurkan bantuan makanan, serta memastikan kebajikan komuniti terjejas terjamin.
Untuk info-info selanjut lawati📍http://malaysiahariini.website
.jpg)