Lahad Datu, 28 September 2025 – Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Lahad Datu berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah menerusi dua operasi berasingan yang dijalankan pada Ahad lalu, dengan menahan empat lelaki termasuk tiga warga asing.
Dalam operasi pertama sekitar jam 1.00 petang di Kampung Sabah Baru, Jalan Lahad Datu – Tungku, sepasukan pegawai dan anggota BSJND menyerbu lokasi hasil maklumat risikan Op Gempur Khas Bil.2/2025. Tiga lelaki warga Filipina berusia antara 35 hingga 43 tahun berjaya ditahan selepas cuba melarikan diri dan berlaku sedikit pergelutan.
Pemeriksaan lanjut menemukan enam paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 53.95 gram, sebuah penimbang digital, pemetik api dan penyedut minuman diubah suai. Nilai rampasan dianggarkan RM5,934.50. Ujian saringan awal mengesahkan ketiga-tiga suspek positif dadah. Mereka kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Dalam operasi kedua pada hari yang sama, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditahan di kawasan Tungku selepas ujian air kencing mendapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine. Suspek disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP HJ. Dzulbaharin bin HJ. Ismail, menegaskan bahawa operasi ini membuktikan komitmen berterusan pihak polis dalam membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang mengancam masyarakat. Beliau turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan bagi membantu pihak berkuasa.
📍 http://malaysiahariini.website
POLIS LAHAD DATU GEMPUR SINDIKET DADAH: EMPAT SUSPEK BERGELAR TAHANAN
byMALAYSIA HARI INI
-
0
