PENYELUDUPAN HAIWAN RUMINAN GUGAT INDUSTRI TERNAKAN


 

PENYELUDUPAN HAIWAN RUMINAN GUGAT INDUSTRI TERNAKAN

KOTA BHARU – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memberi amaran bahawa aktiviti penyeludupan haiwan ruminan dari sempadan Thailand boleh menggugat kelangsungan penternak tempatan, khususnya di Kelantan dan Kedah.
Menurut beliau, rekod menunjukkan sebanyak 70,000 ekor lembu diseludup masuk pada tahun lalu. Kehadiran haiwan tanpa kawalan ini bukan sahaja menekan harga pasaran daging, malah turut menimbulkan risiko penularan penyakit kerana tidak disaring Jabatan Veterinar.
“Rakyat boleh menerima harga daging sekitar RM25 hingga RM35 sekilogram, tetapi kemasukan daging seludup lebih murah jelas memberi tekanan kepada penternak,” katanya ketika merasmikan Kandang Ternakan Lembu Wagyu Kelfarm Sdn Bhd di Kampung Seribong, hari ini.
Mohamad menegaskan, penyeludupan bukan sekadar memberi keuntungan kecil kepada pihak tertentu, malah menganiaya negara serta menjejaskan usaha kerajaan memperkukuh keterjaminan makanan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kementeriannya sedang berusaha meningkatkan pengeluaran daging berkualiti, termasuk lembu Wagyu tempatan yang kini semakin mendapat permintaan. Sehingga Jun lalu, sebanyak 481 ekor Wagyu direkodkan, meningkat berbanding 393 ekor pada tahun 2024.
Menyentuh isu pergolakan di Indonesia, beliau menegaskan keadaan itu tidak memberi kesan besar terhadap import makanan negara kerana bekalan kekal stabil.
Kerajaan kini menyeru kerjasama semua pihak dalam menangani isu penyeludupan, demi melindungi penternak dan memastikan kestabilan pasaran daging negara.

📍 Jom usha: http://malaysiahariini.website / https://malaysiahariininetwork.blogspot.com

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama