WANITA PENSYARAH TERPEDAYA SKIM PELABURAN PALSU, RUGI LEBIH RM244,000
KUALA TERENGGANU – Seorang pensyarah wanita sebuah universiti di sini berputih mata apabila kerugian RM244,925 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata kejadian bermula pada 14 Ogos lalu kira-kira jam 10.15 pagi ketika mangsa berusia 56 tahun menerima mesej WhatsApp daripada nombor tidak dikenali. Mesej itu memaparkan iklan pelaburan berserta pautan.
“Mangsa menekan pautan tersebut tanpa sengaja dan ditawarkan tiga pilihan pakej pelaburan. Dia kemudian membuat bayaran pakej paling rendah berjumlah RM300. Selepas itu, mangsa dimaklumkan kononnya pelaburannya telah memperoleh keuntungan RM14,000.
“Namun, untuk mengeluarkan wang berkenaan, mangsa diminta membuat beberapa transaksi tambahan. Dari 20 Ogos hingga 10 September, mangsa membuat 18 pemindahan wang ke pelbagai akaun berjumlah RM244,925,” katanya.
Bagaimanapun, keuntungan yang dijanjikan tidak pernah diterima, menyebabkan mangsa akhirnya menyedari dirinya ditipu lalu membuat laporan polis.
Siasatan awal mendapati wang mangsa adalah daripada simpanan peribadi termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam masa singkat, kerana kebanyakannya adalah penipuan.
👉 Untuk info lanjut, lawati 📍http://malaysiahariini.website
.jpg)