PENEMUAN MAYAT DALAM BUNGKUSAN CETUS PANIK PENDUDUK SIMPANG PULAI
IPOH – Suasana di Kampung Kerawat, Simpang Pulai, semalam gempar selepas penduduk menemukan satu bungkusan mencurigakan tersangkut pada batang pokok di tepi sungai berhampiran tanah perkuburan Orang Asli. Hasil pemeriksaan polis mendapati bungkusan itu mengandungi mayat manusia.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang dimaklumkan mengenai penemuan tersebut oleh penduduk kampung.
“Sepasukan anggota bersama Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bergegas ke lokasi untuk pemeriksaan lanjut. Hasil siasatan awal mengesahkan terdapat mayat manusia di dalam bungkusan berkenaan. Identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti,” katanya.
Menurut beliau, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) buat sementara waktu, sementara menunggu hasil bedah siasat untuk menentukan punca sebenar kematian dan sama ada terdapat unsur jenayah.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis. “Beri ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Dalam masa sama, polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Polis Balai Simpang Pulai, Inspektor Tai Zhe Jin di talian 019-5448601 atau hadir ke balai polis berhampiran.
📍Untuk berita penuh & terkini, lawati: http://malaysiahariini.website
