MB TERENGGANU SAMSURI TINJAU RUNTUHAN PROJEK TANPA PROTOKOL
KUALA NERUS – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sekali lagi menarik perhatian apabila melakukan tinjauan mengejut di lokasi runtuhan projek baik pulih Jalan Pantai Batu Rakit, pada Khamis.
Beliau hadir seorang diri tanpa sebarang protokol rasmi atau iringan pegawai kerajaan negeri. Kehadirannya yang berpakaian santai dengan topi, pelitup muka dan hanya berselipar turut dikongsi seorang pengguna Facebook, Eizam Edwan Zulkifli, yang bertembung dengan beliau di lokasi.
Runtuhan sepanjang kira-kira 15 hingga 20 meter itu berlaku pada malam Rabu dipercayai akibat hakisan bawah benteng, meskipun keadaan cuaca baik serta tiada hujan atau air pasang besar. Projek bernilai RM4.95 juta yang dijalankan kontraktor SR Tech Resources itu mula dilaksanakan pada 8 April lalu dan dijadualkan siap pada 7 Oktober depan.
Menurut laporan terdahulu, Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menjalankan pemeriksaan teknikal menyeluruh bagi mengenal pasti punca runtuhan dan menilai langkah pembaikan segera. Kawasan berkenaan kini ditutup kepada semua kenderaan demi keselamatan pengguna jalan raya.
Tindakan Ahmad Samsuri yang turun padang secara mengejut tanpa protokol mendapat reaksi positif orang ramai di media sosial. Ramai menyifatkan ia mencerminkan sikap rendah diri dan keprihatinan beliau dalam memastikan setiap isu rakyat diberi perhatian sewajarnya.
Tags
MALAYSIA HARI INI
