LELAKI MENGAMUK: SERANG BAPA, BAKAR RUMAH DAN KENDERAAN DI MUAR
MUAR – Polis menahan seorang penganggur berusia 32 tahun selepas bertindak ganas menyerang bapanya menggunakan rotan dan pisau sebelum membakar rumah serta kenderaan milik warga emas berkenaan dalam kejadian di Kampung Tengah, Jalan Bakri, semalam.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.43 pagi apabila suspek menyerang bapanya yang berusia 70 tahun sehingga cedera. “Sebelum kebakaran, suspek telah memukul serta melibas mangsa menggunakan rotan dan pisau. Kebakaran itu menyebabkan rumah, sebuah kereta dan sebuah motosikal musnah. Kerugian dianggarkan antara RM100,000 hingga RM150,000,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa kini sedang dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, manakala suspek turut mengalami kecederaan ringan. Hasil ujian saringan mendapati suspek positif methamphetamine. Beliau juga dipercayai mempunyai masalah mental dan kini berada dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut.
Menurut Raiz Mukhliz, kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api serta Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
Dalam pada itu, pihak polis menasihati orang ramai agar sentiasa memantau ahli keluarga supaya tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah yang boleh membawa kepada kejadian tidak diingini serta mengancam keselamatan keluarga sendiri.
Untuk info-info selanjut lawati📍http://malaysiahariini.website
