ISRAEL LETUPKAN RUANG UDARA, KONVOI GLOBAL SUMUD FLOTILLA TERUSKAN PELAYARAN
KUALA LUMPUR – Cubaan Israel untuk menggagalkan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) tidak mematahkan semangat lebih 500 sukarelawan dari 45 negara yang kini dalam perjalanan ke Gaza.
Menurut aktivis Zainal Rashid Ahmad, sebanyak 15 dron tentera Israel mengelilingi konvoi 53 kapal di Laut Mediterranean sebelum melepaskan sekurang-kurangnya 12 ‘stun grenade’ pada awal pagi tadi. Letupan kuat itu dipercayai bertujuan menimbulkan panik dan ketakutan, malah salah satunya dikesan jatuh tepat di atas bot yang dinaikinya bersama anak perempuannya.
“Biasanya senjata ini digunakan untuk kawalan rusuhan, tetapi kali ini Israel menggunakannya di udara antarabangsa bagi menggertak pelayar flotilla,” jelasnya.
Tambah beliau, dua bot mengalami kerosakan kecil akibat letupan, namun tiada kecederaan jiwa dilaporkan. Selepas lebih dua jam operasi gertakan tersebut, semua kapal berjaya menyambung pelayaran tanpa sebarang halangan.
Sementara itu, penyanyi tanah air, Zizi Kirana yang turut serta dalam misi di Kapal Hoga, mengesahkan merasai gegaran letupan dan mengakui semua pelayar kini bersiap siaga menghadapi kemungkinan ancaman seterusnya.
“Doakan kami selamat sampai ke Gaza. Sekali melangkah, bererti terus melangkah,” kata Zainal Rashid dalam mesejnya kepada rakyat Malaysia.
Pelayaran GSF kali ini membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza yang berdepan sekatan berpanjangan, sekali gus menjadi simbol solidariti antarabangsa terhadap perjuangan rakyat Palestin.
