HARIMAU MUDA B-23 TERKANDAS SELEPAS TEWAS 1-2 KEPADA THAILAND
PATHUM THANI – Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara sekali lagi gagal menunaikan harapan apabila tersingkir daripada saingan kelayakan Piala Asia B-23 2026 selepas tewas 1-2 kepada Thailand dalam perlawanan terakhir Kumpulan F di Stadium Thammasat pada Selasa malam.
Pasukan bimbingan Nafuzi Zain menutup kempen dengan keputusan bercampur-campur – bermula dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Lubnan, bangkit cemerlang menewaskan Mongolia 7-0, namun gagal mengekalkan momentum apabila kecundang di tangan Thailand yang beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Kekalahan itu bukan sahaja menafikan peluang Malaysia mara ke pusingan akhir di Arab Saudi, malah mengulangi kekecewaan Julai lalu apabila Harimau Muda tersingkir di peringkat kumpulan Piala ASEAN B-23 selepas seri tanpa jaringan dengan Indonesia di Jakarta.
Gelombang kekecewaan turut terpancar di laman sosial rasmi Malaysia National Team. Ramai peminat meluahkan rasa kecewa, ada yang menyifatkan kegagalan itu gambaran sebenar kemampuan skuad muda jika hanya bergantung pada pemain tempatan.
Ada penyokong mencadangkan penggunaan pemain warisan sebagai jalan keluar, selain menilai kelemahan taktikal jurulatih. Malah, taktik “Nafuzi Ball” turut menjadi bahan sindiran dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.
Dalam masa sama, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) didesak membuat penilaian semula hala tuju pembangunan belia agar Malaysia tidak terus ketinggalan berbanding negara jiran seperti Thailand dan Vietnam.
Sebahagian peminat masih berharap kegagalan ini menjadi titik tolak untuk reformasi lebih menyeluruh, khususnya dalam pembangunan akar umbi bagi melahirkan skuad pelapis lebih mantap pada masa depan
