SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) menegaskan pendiriannya untuk tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, keputusan itu bukan semata-mata kerana faktor strategi politik, sebaliknya berlandaskan prinsip kejujuran.
Beliau menjelaskan, GRS terbentuk selepas episod peralihan politik apabila ramai ahlinya pada asalnya daripada UMNO, kemudian melompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum keluar dan menubuhkan gabungan baharu. “GRS lahir atas faktor pengkhianatan. Asalnya mereka daripada UMNO, kemudian ke Bersatu, akhirnya tubuh GRS. Jadi, di mana letaknya kejujuran?” katanya.
Mohd Puad menegaskan, UMNO berisiko menghadapi “tikaman belakang” sekiranya bekerjasama dengan GRS. Tambahnya, mustahil untuk GRS menyerahkan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dulunya milik UMNO.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengesahkan BN tidak akan bekerjasama dengan GRS dalam PRN Sabah ke-17. Beliau berkata, keputusan dibuat selepas meneliti hasil perbincangan bersama Pakatan Harapan (PH) dan GRS selain mengambil kira fakta politik semasa di Sabah.
Mohd Puad berkata, UMNO masih mempunyai rekod kukuh di Sabah untuk dijadikan asas mendapatkan kembali kepercayaan rakyat. “Lebih baik elak pertindihan kerusi dan bertanding secara ‘friendly’. Mengenai pembentukan kerajaan, itu boleh dibincangkan kemudian,” jelasnya.
📍 Jom usha: http://malaysiahariini.website / https://malaysiahariininetwork.blogspot.com
.info lanjut dan Untuk berita terkini.